Followers

Monday 16 May 2011

PERTUBUHAN KIMARAGANG MALAYSIA UMPAMA BAYI YANG BARU LAHIR

>> MONDAY, DECEMBER 14, 2009

TEKS UCAPAN MEJAR KEHORMAT ABDUL LATIFF KANDOK, PENASIHAT PERTUBUHAN KIMARAGANG MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERTUBUHAN KIMARAGANG MALAYSIA PADA 13 DISEMBER, 2009 DI DEWAN , KG. MOSOLOG, TANDEK

Saya gembira dapat bersama dengan saudara-saudara sekalian dalam majlis yang bersejarah ini iaitu pelancaran pertubuhan kimaragang Malaysia, terutama sekali kepada pemimpin-pemimpin kita, Y.Bhg Datuk George Sangkin, Tuan Haji Madina Unggut, Tuan Haji Omar Majun, dan Tuan Haji Zulkifli Majun.

Saya juga berasa terharu atas kehadiran saudara-saudara yang memenuhi Dewan Kg. Mosolog ini.

Meneliti kepada yang hadir pada petang ini, jelaslah pada kita bahawa kumpulan sasar pertubuhan ini iaitu bangsa Kimaragang sudah mula menampakkan minatnya kepada pertubuhan ini.

Kita menghargai kehadiran saudara-saudara sekalian pertama, kerana pertubuhan ini berjuang atas nama bangsa Kimaragang dan sudah tentu kehadiran saudara-saudara sekalian pada majlis ini menampakkan sokongan dan doa kepada pertubuhan ini.

Maknanya, jika kita umpamakan pertubuhan ini sebagai bayi yang baru lahir, maka yang datang memenuhi dewan ini ingin melihat bayi comel yang baru lahir di Wilayah Kimaragang.

Seperti juga kita mendoakan kesyukuran atas lahirnya seorang bayi maka marilah bersama saya mendoakan kelahiran pertubuhan ini supaya berguna kepada bangsa Kimaragang.

Kedua, kita juga menghargai saudara-saudara sekalian kerana kehadiran saudara-saudara pada majlis ini akan menjadi kenangan manis kepada Majlis Tertinggi Pertubuhan ini.

Saya berkata demikian kerana sepanjang penglibatan saya dalam persatuan sukarela, saya dapati pertubuhan Kimaragang Malaysia merupakan persatuan yang begitu bersungguh-sungguh dalam merancang dan melaksanakan kegiatannya untuk pembangunan bangsa Kimaragang.

Saya berani menyatakan ini kerana saya mengikuti perkembangan pertubuhan ini sejak dari mula lagi sehinggalah saya dilantik sebagai penasihat pertumbuhan ini.

Tegasnya, kehadiran saudara-saudara sekalian dapat mendorong Majlis Tertinggi pertubuhan ini melaksanakan perjuangannya.

Bangsa Kimaragang memerlukan beberapa agen perubahan untuk membangunkan bangsa ini.

Agen perubahan ialah individu-individu yang telah timbul kesedarannya bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengangkat bangsanya supaya setanding dengan bangsa lain.
Saya percaya ramai agen perubahan di kalangan bangsa Kimaragang namun, takala ramai dari mereka yang terus bergiat dalam kegiatan-kegiatan sukarela, namun tidak kurang yang terpaksa mengundur diri kerana kritikan-kritikan yang tidak berasas yang berpunca dari hasad dengki dan sangkaan yang bukan-bukan yang kononnya menguggat kepentingannya sama ada dalam politik atau kepimpinan-kepimpinan lain.
Saya mengenali semua Majlis Tertinggi Pertubuhan Kimaragang dan saya dapati mereka mempunyai kedudukan yang baik sama ada dalam perkhidmatan awam atau perniagaan.

Atas kedudukan ini, mereka bebas membuat pilihan untuk berdiam diri sahaja dan membiarkan peranan membangunkan bangsa Kimaragang ini di tangan pihak-pihak yang bertanggungjawab.
Namun, mereka membuat keputusan yang bijak untuk melakukan sumbangan kepada bangsa Kimaragang melalui pertubuhan Kimaragang Malaysia, atas pendirian bahawa sebagai pegawai kerajaan atau ahli perniagaan mereka mempunyai sedikit ide atau pendapat untuk disumbangkan kepada bangsa Kimaragang.
Mereka sedar bahawa bangsa Kimaragang memang memerlukan banyak sumbangan terutama sumbangan berbentuk kewangan dan dalam masa yang sama mereka sedar bahawa mereka tidak mampu menghulurkan sumbangan kewangan tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh melakukan sumbangan dalam bentuk lain.
Pilihan terbaik mereka ialah sumbangan ide kepada bangsa Kimaragang melalui Pertubuhan Kimaragang Malaysia.
Saya berbesar hati mengakui dalam majlis ini bahawa Majlis Tertinggi Kimaragang Malaysia adalah terdiri dari mereka yang kreatif, inovatif, dan produktif seperti yang disebut oleh YAB Perdana Menteri dalam konsep I Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Konsep Satu Malaysia mendesak perkhidmatan awam meningkatkan kepuasan hati RAKYAT melalui aplikasi kreativiti dan inovasi. Kata Perdana Menteri:
“idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan hanya semata-mata ianya tidak konvensional…budaya pemikiran di luar kotak kebiasaan perlu menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikkan.”
Berdasarkan kepada amanat YAB Perdana Menteri ini maka saya menyeru supaya bangsa Kimaragang menyokong sepenuhnya Deklarasi Trong Soko yang dihasilkan oleh para agen perubahan kita pada 29.8.2008.

Memikirkan kepentingan deklarasi ini maka Pertubuhan Kimaragang Malaysia telah mengangkatnya sebagai perjuangannya.
Mengikut pengamatan saya, deklarasi ini yang berfokus kepada tujuh perkara iaitu KEPIMPINAN, PERPADUAN, PENDIDIKAN, BAKAT, WARISAN, SOSIOEKONOMI, dan JALINAN BESTARI menampakkan apa yang disifatkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan.
Sejak deklarasi ini disiapkan, saya telah membacanya berulangkali dan pada majlis ini sekali lagi saya menyebutnya sebagai peringatan kepada diri saya sebagai penasihat dan juga kepada saudara-saudara sekalian bagi tujuan memberikan sokongan yang bulat kepada Pertubuhan ini.


Deklarasi Trong Soko ini memuatkan 22 perkara yang memberi kepentingan kepada bangsa Kimaragang:
1. Menubuhkan Almuni Kimaragang
2. Mendokumentasikan sejarah dan sastera rakyat Kimaragang
3. Membangunkan pangkalan data sosioekonomi Kimaragang
4. Mendokumentasikan dan mewartakan sejarah pemilikan tanah adat Kimaragang
5. Merangka blueprint pembangunan kepimpinan bukan konvensional dan konvensional Kimaragang dalam aspek kepimpinan, infrastruktur, dan pembangunan modal insan
6. Kajian ke atas sikap pasif pelajar bangsa Kimaragang di IPT dalam aspek kepimpinan.
7. Mengusulkan kepada kerajaan untuk mewujudkan pelabuhan Kastam di Kota Marudu
8. Membangunkan modul pembangunan awal (Sekolah Rendah/Menengah Rendah) kepimpinan bangsa Kimaragang
9. Menubuhkan Yayasan Pendidikan Kimaragang
10. Mengadakan konvensyen kepimpinan belia dan beliawanis Kimaragang
11. Menubuhkan Majlis Penasihat (think tank) Kimaragang dianggotai pemimpin veteran, pemimpin masyarakat dan agama
12. Meminta kerajaan mewujudkan Pusat Kebudayaan Kesenian dan Warisan Kimaragang
13. Mempromosikan landmark Kimaragang
14. Menjalinkan hubungan baik dengan pihak berkuasa untuk kepentingan sosioekonomi bangsa Kimaragang
15. Memberi sokongan padu kepada individu bangsa Kimaragang yang berpotensi menjadi pemimpin yang berwibawa
16. Mengenalpasti masalah, bakat dan potensi bangsa Kimaragang
17. Membudayakan sikap bersatupadu di kalangan bangsa kimaragang dalam menangani sebarang permasalahan
18. Mendorong ibubapa memberikan pendidikan tinggi kepada anak-anak Kimaragang
19. Meminta kerajaan menyegerakan kewujudan daerah Tandek
20. Menganjur seminar kecemerlangan pelajar Kimaragang
21. Menubuhkan Koperasi Kimaragang dan Persatuan Perniagaan Bumiputera Kimaragang
22. Menubuhkan kumpulan Briged Muda Kimaragang


Saya berasa bangga menyatakan dalam majlis ini bahawa pertubuhan ini bukan sekadar menyenaraikan keutamaan-keutamaan perjuangan dalam deklarasi tersebut malahan telah menetapkan visi pertubuhan ini iaitu menjadikan bangsa Kimaragang bersatupadu, maju, dan menarik menjelang tahun 2020.

Bangsa Kimaragang yang bersatupadu membawa makna bahawa semua lapisan masyarakat terutamanya golongan terpelajar, bijak pandai dan pegawai kerajaan bersatupadu berfikir dan bertindak bagi kemajuan bangsa ini.

Bangsa Kimaragang yang maju membawa makna bangsa Kimaragang menikmati kemajuan dari semua aspek seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan, politik, pertanian, kebudayaan, kesenian, dan pelancongan.

Bangsa Kimaragang yang menarik pula membawa maksud dunia mengiktiraf keunikan-keunikan bangsa Kimaragang.

Tegasnya, visi pertubuhan ini adalah bernilai tinggi kerana mampu membawa kebaikan kepada bangsa Kimaragang.

Saudara-saudara sekalian, mati atau hidupnya sesuatu persatuan sukarela ditentukan oleh penghargaan dan kritikan yang diberikan pihak-pihak yang berkenaan seperti agensi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan matlamat pertubuhan berkenaan, kumpulan yang menerima perkhidmatan pertubuhan berkenaan, dan pihak-pihak yang berkepentingan, seperti media massa, penulis-penulis, dan bloggers.

Dalam kesempatan ini, saya merayu kepada pihak-pihak ini supaya menangguhkan sebarang kritikan buat sementara waktu kepada pertubuhan yang baru lahir ini.

Berilah sedikit masa kepada pertubuhan ini melaksanakan kegiatannya.
Mengambil misalan pertubuhan ini sebagai bayi, biarkan pertubuhan ini besar sedikit barulah kenakan hukuman atas kesilapannya, sama seperti kita tidak wajar merotan bayi yang baru saja berusia tiga bulan.
Seperti yang kita tahu, bahawa tanpa mengira apa agama dan kepercayaan, merotan bayi adalah dosa yang sangat jahat.

Pertubuhan Kimaragang Malaysia adalah masih bayi, cantik pada pandangan mata kita, dengan visinya yang jelas serta fokus perjuangan yang bertepatan dengan keperluan bangsa Kimaragang yang kita sayangi.

Semoga hari ini bermulalah fasa baru dalam sejarah bangsa Kimaragang untuk melangkah ke hadapan menuju visi bangsa Kimaragang yang bersatupadu, maju, dan menarik.

Dengan kata-kata itu, maka dengan Rahmat Tuhan Yang Maha Esa, saya dengan ini menyempurnakan pelancaran Pertubuhan Kimaragang Malaysia dengan rasminya.

Salam Transformasi Kimaragang.
Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment